Digital, media sosial cabar perpustakaan (digital, social media challenge libraries)

SUMBER: BERITA HARIAN

RENCANA»Sastera
Rabu, 24 Januari 2018 | 7:33pm

 

KUALA LUMPUR: Peranan perpustakaan di negara ini masih relevan dan terus berkembang pesat walaupun menghadapi cabaran maklumat digital dan media sosial.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Nafisah Ahmad, berkata setakat ini, ada 13,719 perpustakaan di seluruh negara, iaitu 10,180 pusat sumber sekolah; perpustakaan luar bandar (1,111 ); perpustakaan khas (950); perpustakaan akademik (452); perpustakaan awam negeri (336); pusat sumber KEMAS (286); Medan Info Desa (243); pusat sumber Sekolah Antarabangsa (98) dan Maktab Sains MARA (58) serta empat perpustakaan komuniti.

“Kemajuan ini menunjukkan fungsi perpustakaan masih relevan jika ia boleh melaksanakan transformasi untuk memenuhi keperluan maklumat dalam masyarakat.

“PNM juga dalam proses memperluas pembangunan Perpustakaan ‘Ubiquitous’ atau dikenali sebagai u-Pustaka sebagai hab maklumat nasional untuk mewujudkan pengetahuan melalui penggunaan perkhidmatan perpustakaan dalam masyarakat,” kata beliau dalam ucapan pembukaan Presidential Talk ‘Libraries: Motors of Change’ di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Persekutuan Perpustakaan dan Institusi Antarabangsa (IFLA), Gloria Perez-Salmeron.

Nafisah berkata, projek u-Pustaka membabitkan pembangunan baharu Malaysia National Union Catalouge dengan ciri-ciri baharu, sistem repositori kandungan digital yang membolehkan penyimpanan dan pengurusan kandungan digital.

“Empat lagi perpustakaan (u-Pustaka) akan diperluaskan di Perpustakaan Awam Negeri Melaka, Terengganu, Perlis dan Kedah, menjadikan jumlah perpustakaan yang mengambil bahagian meningkat daripada lapan kepada 12 perpustakaan.

“Melalui pengembangan itu, perkongsian kandungan digital akan dipertingkatkan lagi dan boleh diakses pada bila-bila masa dam di mana-mana oleh sesiapa saja,” katanya.

Sementara itu, Perez-Salmeron berkata, berada dalam bidang perpustakaan memberikan

cabaran yang besar kerana perkhidmatan maklumat terus berubah dengan kemunculan teknologi moden dan era digital.

“Kita perlu kemas kini maklumat mengenai segala-galanya. Kita perlu menganalisa dengan siapa kita berkhidmat dan memberi tumpuan kepada cara menyampaikan maklumat serta menyediakannya dan menjadi sumber paling relevan,” katanya kepada BERNAMA.

Perez-Salmeron yang dalam lawatan rasmi ke negara ini berkata, Kongres Perpustakaan dan Maklumat Dunia (WLIC) ke-84 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula 24 hingga 30 Ogos tahun ini akan menjadi persidangan antarabangsa paling berprestij untuk pustakawan.

“Ia juga memberi peluang kepada Malaysia untuk mempamerkan perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan oleh perpustakaannya, selain berkongsi amalan terbaik dalam pustakawan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” katanya.

Malaysia ialah negara ketiga dari kalangan negara anggota ASEAN menjadi tuan rumah IFLA WLIC selepas Thailand pada 1999 dan Singapura (2013).

Kongres itu dijangka disertai 4,000 delegasi dari lebih 100 negara dan menjana pendapatan sebanyak RM44.4 juta kerana ia acara profesional dan perdagangan antarabangsa yang berprestij bagi sektor perpustakaan dan perkhidmatan maklumat.

 

SUMBER: BERITA HARIAN

RENCANA»Sastera
Rabu, 24 Januari 2018 | 7:33pm

Maklumat lanjut url: https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2018/01/380147/digital-media-sosial-cabar-perpustakaan

Muhammad Akmal Ahmat

Librarian. Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia

%d bloggers like this: