Martabat pantun

Sumber : Harian Metro
Tarikh : 25-04-2016
Penulis : Rizanizam Abdul Hamid
URL: http://www.hmetro.com.my/node/133088

Bangi: Kerajaan dicadang mewujudkan satu gagasan perdana memartabatkan
pantun sebagai warisan keramat Melayu agar terus disanjungi dan tidak
ditelan zaman.
Ketua I Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Prof
Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata, gagasan itu perlu
membabitkan peruntukan yang besar dan lebih banyak pihak mengambil
bahagian.
“Dalam konteks peradaban Melayu, pantun sepatutnya dijaga sebagai satu
warisan keramat sebaliknya apa yang berlaku sekarang, orang macam tidak
kisah kerana mungkin kita tak ada satu program atau gagasan yang hebat.
“Pertandingan pantun umpamanya, begitu susah untuk dapatkan dana bagi
menawarkan hadiah lumayan berbanding pertandingan nyanyian atau realiti
lain yang lebih mudah mendapat peruntukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri
Pertandingan Berbalas Pantun Harta Intelek sempena Hari Intelek 2016
Universiti Kebangsaan Malaysia, semalam.
Perasmian disempurnakan Ketua Pustakawan UKM Hafsah Mohd.
Mengulas lanjut Abdul Latiff berkata, sepatutnya, peruntukan kerajaan
dan swasta dalam memartabatkan pantun adalah lebih tinggi kerana
memerlukan kemahiran dan pengetahuan yang meluas.
“Berpantun berbeza dengan bernyanyi kerana semua orang boleh bernyanyi
tetapi untuk menguasai pantun yang hebat dan spontan, perlu ada kemahiran
yang tinggi.
“Justeru GAPENA berharap melalui gagasan perdana memartabatkan pantun
ini, ia boleh mendapatkan peruntukan yang lebih tinggi daripada kerajaan
dan swasta,” katanya.
Selain UKM dan GAPENA, pertandingan terbuka yang mendapat 24 penyertaan
termasuk individu dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh
negara itu turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),
Perpustakaan Negara Malaysia dan Persatuan Pustakawan Malaysia.
Pada Pertandingan Berbalas Pantun Harta Intelek, semalam, johan
pertandingan menjadi milik eksekutif swasta Muhammad Noriman Mustafa, 27,
yang membawa pulang wang tunai RM2,500.
( END )

%d bloggers like this: